Persatuan peruncit sambut baik usaha PM tangani isu kenaikan harga barang

0
2

PERSATUAN Peruncit Bumiputera (BRO) menyambut baik keputusan kerajaan melalui Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Khas Sara Hidup Negara (NACCOL) terus komited menyelesaikan isu bekalan serta pengeluaran makananan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

Presidennya, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, berkata persatuan juga menghargai keputusan kerajaan membuka permit import ayam kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) dan pembukaan AP bagi pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

“Kerajaan yang prihatin rakyat juga, telah menetapkan harga maksimum runcit bagi ayam standard juga dikurangkan sebanyak 20 sen yang menjadikan harga siling ayam pada RM8.90.

“Bagi memastikan penternak-penternak ayam tempatan kekal berdaya saing, BRO mengharapkan kerajaan akan terus memastikan langkah intervensi atau pemberian subsidi yang saksama kepada mereka dapat dimuktamadkan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ameer Ali berkata, kesungguhan yang ditunjukkan kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri jelas menyatakan keseriusan beliau menangani isu kenaikan harga barangan yang sedang berlaku di peringkat global.

Beliau yang juga Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad berkata, pihak persatuan menyatakan komitmen dan usaha untuk memastikan aspirasi kerajaan bagi memastikan kawalan harga barangan dapat dicapai.

“Justeru, rakyat dan peniaga akan dapat manfaat seiring dengan keputusan yang telah dibuat tersebut,” katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri mengumumkan harga maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan sekarang menjadi RM8.90.

Manakala, harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Katanya, pelaksanaan kedua-dua harga tersebut bermula 5 Februari sehingga 5 Jun depan.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang AP bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here