‘Maruah negara tergadai kerana kejahatan Kluster Mahkamah’

0
3

KETUA Penerangan PAS, Khairil Nizam Khirudin mendakwa ketidakstabilan politik negara yang berlaku ketika ini adalah disebabkan gangguan daripada mereka yang berkepentingan termasuk kumpulan ‘Kluster Mahkamah’.

Beliau berkata, maruah Malaysia tergadai kerana kejahatan pemimpin-pemimpin berkenaan yang memalukan negara sehingga ke peringkat dunia.

Justeru, beliau mempersoalkan mengapa pemimpin-pemimpin daripada kluster berkenaan perlu diletakkan sekali lagi untuk menerajui tampuk pemerintahan negara.

“Dalam keadaan sekarang, ketidakstabilan itu diganggu oleh mereka yang mempunyai kepentingan, (termasuk) kalah dalam pilihan raya, berdepan dengan kes mahkamah dan mereka (ini) yang sebenarnya memalukan negara di peringkat dunia.

“Satu dunia tahu bagaimana malunya apabila kita berdepan dunia dengan kes-kes rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku zaman Barisan Nasional (BN) memerintah dahulu dan dihukum oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Program Bual Bicara Bersama Datuk Wan Saiful Saiful Wan Jan yang disiarkan dalam YouTube rasmi Bersatu.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, Kluster Mahkamah bukan satu ‘roket sains’ dan ia adalah maklumat yang boleh diakses di mana-mana.

“Sekiranya tidak percaya, boleh pergi luar negara, tanya mereka siapa yang mereka dengar dan kenapa mereka mengenali Malaysia.

“Ini memalukan, maruah (negara) tergadai kerana kejahatan pemimpin- pemimpin ini. (Jadi) kenapa pemimpin ini kena sekali lagi diletakkan untuk menrajui tampuk pemerintahan negara,” soalnya.

Sebelum ini, Wan Saiful yang juga Ketua Penerangan Bersatu berkata, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan atas usaha Kluster Mahkamah dan para pendukung yang mahu mengalih perhatian daripada kes sedang dihadapi mereka.

Katanya, malah mereka dalam masa yang sama cuba memperkukuh kedudukan kluster itu sendiri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here