PAS tidak menolak kemungkinan akan mengadakan muktamar khas untuk membincangkan hubungan parti itu dengan Umno sekiranya mempunyai keperluan berbuat demikian.
Ketua Penerangannya, Khairil Nizam Khirudin, berkata tindakan pengkhianatan yang dilakukan sebilangan pemimpin Umno terhadap PAS termasuk dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) sedang diberi perhatian parti itu.
“Kesabaran PAS ada hadnya, kerana kita komited bersama dengan PN dan kita juga parti berpengalaman dalam bertahaluf kerjasama politik dengan parti lain.
“Ada segelintir pemimpin Umno ini bertindak keterlaluan seperti pembubaran DUN di Melaka, begitu di Perak. Sekarang ini berlaku di Johor (Pilihan Raya Negeri).
“Jadi kita tak boleh bakulkan (letak) Umno secara keseluruhan dalam satu bakul. Ia (hanya) membabitkan kluster-kluster tertentu.
“Penghormatan PAS kepada Umno adalah kepada kluster yang mahukan penyatuan ummah di antaranya mereka yang duduk dalam kerajan sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Bual Bicara Bersama Datuk Wan Saiful Saiful Wan Jan yang disiarkan dalam YouTube rasmi Bersatu.
Dalam pada itu, Khairil Nizam berkata, pertimbangan hubungan PAS dan Umno itu akan dibuat dengan mengambil kira pelbagai faktor dan struktur.
“Sekiranya ia memberikan defisit kepada Islam, khususnya kepada perpaduan ummah kita tidak akan teragak-agak ambil tindakan terhadap hubungan terhadap Umno.
“Kalau tanya saya bila ‘turning point’ (hubungan dengan Umno) kepada PAS? Ia memerlukan prosedur.
“Maknanya perkara ini sedang dalam penelitian kalau diangkat dengan kuat barangkali akan berlakunya muktamar khas utuk bincang kembali, sebelum diangkat ke Majlis Syura Ulama untuk buat penentuan terhadap dasar,” katanya.
Sementara itu, Khairil Nizam berkata, beliau berharap rakyat khususnya ahli PAS dan Bersatu supaya bersabar kerana tindakan yang diambil adalah berstrategi dan tidak gopoh.
Mengulas mengenai PRN Johor, Kharil Nizam berkata, kebimbangan PAS dan PN bukan kepada Umno tetapi kepada pengundi baru khusunya Melayu yang bosan dengan senario politik negara.
“Apabila mereka tidak keluar mengundi, maka pengundi teras (Umno) ini akan mengambil kesempatan.
“Maka (sejarah) akan berulang balik (PRN Melaka). Mereka tetap boleh menang walau terpalit isu,” katanya. – Malaysiapost

