Pinjaman Genting HK : ‘Alasan Tengku Zafrul amat lemah’ – Hanipa

0
2
hanipa-zafrul

AHLI Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin menolak penjelasan Menteri Kewangan Datuk Seri  Tengku Zafrul Abdul Aziz berkaitan kerajaan memberikan pinjaman tanpa cagaran bernilai RM2.51 bilion kepada Genting Hong Kong Ltd (Genting Hong Kong).

“Setelah mempertimbangkan dengan sewajarnya kenyataan yang dibuat di atas, saya perlu katakan bahawa dengan hormat alasan Tengku Zafrul itu itu amat lemah, malah langsung tak ada merit,” katanya seperti dilaporkan MalaysiaKini.

Pemimpin Amanah itu mendakwa justifikasi amalan perbankan seperti yang dijelaskan Tengku Zafrul sukar dipercayai memandangkan dia sendiri mempunyai pengalaman luas dalam industri perbankan.

Dua hari lalu, Tengku Zafrul membidas Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Ahli Parlimen Port Dickson itu mempersoalkan bagaimana dia boleh membenarkan Maybank, CIMB, dan RHB memberikan pinjaman tidak bercagar kepada Genting Hong Kong.

Dalam jawapannya, Tengku Zafrul berkata pinjaman tanpa cagaran bukanlah sesuatu yang luar biasa dalam industri perbankan, dan institusi itu mempunyai kebebasan untuk berbuat demikian berdasarkan kesanggupan mereka mengambil risiko.

Dalam kes Genting Hong Kong, katanya, pinjaman itu telah diluluskan sebelum wabak Covid-19 melanda dan apabila pandemik itu merebak, perniagaan syarikat itu terjejas.

Senator itu juga berkata bank lain turut memberikan pinjaman kepada Genting Hong Kong.

Sementara itu, Mohamed Hanipa berkata, walaupun Covid-19 boleh dikategorikan sebagai risiko yang tidak dapat dijangka, langkah keselamatan tambahan sepatutnya ditegaskan oleh institusi kewangan.

“Dalam undang-undang ia dipanggil sebagai fortuitous event, memang tak ada keraguan mengenainya.

“Itulah sebabnya mengapa mana-mana institusi kewangan akan berkeras untuk (permohonan pinjaman) mempunyai sekuriti tambahan seperti gadai janji atau surat jaminan daripada peminjam sebelum sebarang pinjaman diluluskan.

“Ringkasnya, perkara asas untuk memiliki sekuriti dalam amalan perbankan adalah disebabkan oleh sifat transaksi pinjaman itu sendiri ia adalah transaksi yang berisiko.

“Oleh itu, bank amat memerlukan perlindungan tambahan melalui sekuriti yang boleh dikuatkuasakan.

“Ia difahami bahawa pemiutang bercagar secara relatifnya lebih dilindungi daripada yang tidak bercagar terutamanya ketika berlaku muflis,” kata bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

Selain itu, Mohamed Hanipa mendakwa percubaan untuk mengehadkan sebarang risiko yang tidak dijangka berkaitan wabak adalah ‘tidak masuk akal’, memandangkan risiko yang tidak dijangkakan dalam amalan perbankan adalah banyak. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here