
AHLI Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik mempersoalkan dakwaan yang menyatakan beliau sedang disiasat Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan ‘hadiah’ yang diterima ketika berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan.
Ia berhubung dengan tuduhan menerima wang daripada syarikat berkaitan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang diterimanya, bagi tujuan politik.
“Semalam (jumlah wang itu) RM50,000, hari ini RM200,000? Sejujurnya peruntukan menteri lebih daripada itu,” katanya dalam ciapan di laman Twitter.
Memetik laporan akhbar tempatan, SPRM sedang menyiasat dakwaan Maszlee menerima ‘hadiah’ berjumlah RM200,000 sewaktu beliau berkhidmat sebagai Menteri Pendidikan.
Laporan itu turut mengatakan bahawa wang tersebut digunakan untuk aktiviti politiknya.
Sementara itu, Dr Maszlee turut mempersoalkan sama ada beliau telah aktif dalam parti politik ketika itu.
Mengulas berkenaan dakwaan menerima Toyota Vellfire dari sebuah syarikat di bawah KPM semasa beliau menjadi menteri, Dr Maszlee menjelaskan tidak pernah memiliki kenderaan mewah itu.
“Adakah saya pernah memilikinya? Yang digunakan semasa (ketika saya di) Kementerian Pendidikan adalah milik kerajaan, (ia) bukan milik saya.
“Cari dakwaan lain la, yang ini terlalu pincang,” katanya lagi.
Ianya selepas gambar sebuah Toyota Vellfire berwarna putih tular di media sosial dan kenderaan tersebut yang dikatakan disiasat SPRM kaitannya dengan Dr Maszlee. – Malaysiapost
