MENTERI Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, digesa supaya meletak jawatan susulan isu pinjaman tanpa cagaran membabitkan beberapa bank tempatan kepada Genting Hong Kong yang diisytiharkan muflis.
Gesaan itu dibuat oleh Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang turut menegaskan rakyat perlu penjelasan lanjut isu berkenaan yang berkepentingan awam.
Menurutnya, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) adalah dari dana awam kerajaan berstatus syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“GLC ini adalah pemegang taruh utama dalam skandal yang dikaitkan dengan pinjaman RM2.5 bilion tanpa cagaran kepada Syarikat Judi Genting HK milik rakyat Malaysia dengan tiga bank yang bertanggungjawab adalah Maybank, RHB dan CIMB.
“Di atas kepentingan awam rakyat perlu penjelasan dari kerajaan kenapa episod malang ini boleh berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar mempersoalkan bagaimana amalan tidak mewajibkan cagaran sebagai kolateral dengan nilai pinjaman RM2.5 bilion dibenarkan.
“Amalan ini bercanggah dengan prosedur pinjaman yang mendedahkan bahaya kepentingan pemegang taruh dari KWSP, PNB dan KWAP yang dimiliki kerajaan.
“Siapakah yang bertanggungjawab sehingga amalan tanpa cagaran ini membawa risiko besar kepada dana kepentingan negara yang sepatutnya diperlukan pada fasa pemulihan yang sedang dilalui negara.
“Mereka perlu dipertanggungjawabkan di hadapan sebuah Inkuiri Siasatan Bebas Diraja demi mengembalikan kepercayaan institusi perbankan kepada orang ramai dan demi kepentingan dana awam yang diamanahkan,” katanya.
Selain itu, beliau turut mempertikaikan pematuhan syariah dalam pelaburan KWSP, PNB dan KWAP sedangkan dana ini dipinjamkan kepada syarikat judi yang jelas bertentangan dengan piawaian pematuhan syariah.
Menurutnya, Menteri Kewangan hari ini perlu meletak jawatan sehingga siasatan bebas dilakukan kerana jika tidak, Menteri Kewangan hari ini punya kepentingan bercanggah dan beliau berpotensi salah guna kedudukannya untuk menutup kes. – Malaysiapost

