JDT abadi nama Lucho di Stadium Sultan Ibrahim

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

NAMA bekas pemain kebangsaan Argentina, Luciano Figueroa diabadikan di kawasan tempat duduk Stadium Sultan Ibrahim bagi mengenang jasa beliau dalam pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT). 

Perasmian ‘Luciano Figueroa Stand’ itu disempurnakan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersama Duta Besar Argentina ke Malaysia, Manuel Balaguer Salas, semalam.

TMJ bertitah, JDT akan memberi pengkitirafan kepada individu yang berjasa kepada kelab berkenaan.

“Kelab ini akan sentiasa memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada orang yang berjasa dan mencipta sejarah kepada kelab,” titah TMJ.

Pengiktirafan yang diterima Figueroa atau lebih dikenali sebagai Lucho itu secara tidak langsung menjadikan JDT  satu-satunya pasukan Liga Malaysia yang mengabadikan nama pemain di stadium. 

Lucho pernah beraksi dengan kelab gergasi Greece, Panathinaikos FC , kelab Seria A, Genoa, gergasi Argentina, River Plate dan Boca Juniors.

Beliau menyertai JDT pada tahun 2014 sehingga 2016 dan membuat kemunculan semula di JDT pada 2018. 

Sepanjang beraksi dengan skuad Harimau Selatan, beliau telah menjaringkan 43 gol dan 14 bantuan jaringan dalam 71 perlawanan.

Figueroa juga adalah antara nama besar dalam bola sepak kerana pernah beraksi dengan skuad Argentina bersama bintang terkemuka dunia seperti Carlos Tevez, Cambiasso, Juan Riquelme dan Pablo Aimar.

Sebelum dilantik menjadi Pengurus JDT pada bulan Ogos 2018, beliau juga pernah berkhidmat sebagai Duta Kelab pada tahun 2017.

Bersama JDT, beliau memenangi dua kejuaraan Liga Super Malaysia (2014 & 2015), Piala Sumbangsih 2015 dan Piala AFC 2015 sebagai pemain. 

Figueroa juga berjaya memenangi dua lagi Piala Sumbangsih (2019 & 2020), Liga Super 2019 dan juga Piala Malaysia 2019 sebagai pengurusan. -Malaysiapost