KEJADIAN ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang di daerah Kinta, Perak, petang semalam, berpunca daripada pembentukan awan ribut petir yang bersaiz sangat kecil, tetapi kuat.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah, berkata kejadian yang bersifat setempat serta bersaiz sangat kecil itu meningkatkan intensiti dengan sangat cepat dan amat sukar untuk diramal.
Beliau berkata, MetMalaysia sudah mengeluarkan amaran untuk kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang membabitkan kawasan Perak bermula jam 3.40 petang, semalam.
Katanya, maklumat itu dikemaskini pada jam 6.55 petang dan 7.55 malam membabitkan beberapa daerah di Perak berdasarkan maklumat dan analisa cuaca terkini dan disebarkan melalui pelbagai medium sebaran rasmi MetMalaysia.
“Kejadian ribut petir dan angin kencang dilaporkan berlaku di daerah Kinta, Perak sekitar jam 6.30 petang semalam dan berdasarkan imej radar serta satelit, beberapa tompok awan hujan kecil terbentuk di sempadan Perak dan Pahang pada jam 5.50 petang.
“Tompokan awan juga tidak berkembang dengan ketara, namun awan hujan bersaiz kecil di daerah Kinta meningkat ke intensiti kuat dalam tempoh yang sangat singkat sekitar jam 6.20 hingga 6.40 petang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, beberapa pokok tumbang dan puluhan rumah dilaporkan rosak dalam kejadian ribut yang melanda di kawasan Kampung Tawas dan Taman Tasek Damai dalam kejadian petang semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang itu menyebabkan beberapa batang pokok tumbang sehingga menghalang laluan serta menimpa rumah penduduk.
Semalam, tular di media sosial berkenaan kejadian ribut dan pokok tumbang di beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh terutama di Kampung Tawas.
Salah satu video berdurasi 9 saat memaparkan kejadian puting beliung sehingga menerbangkan beberapa kepingan atap dari premis berdekatan Kampung Tawas. – Malaysiapost

