PERSOALAN mengenai ayam atau telur yang mana diciptakan dahulu dilihat sepintas lalu seperti kelakar dan ada juga menganggap sebagai teka teki, namun sebenarnya ia turut dibincangkan oleh para ulama.
Bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, berkata perkara itu juga pernah diaju kepada tokoh ahli fatwa dunia.
Menurut bekas Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu, bagaimanapun permasalahan berhubung perkara itu disebut sebagai masalah fudhuliah, iaitu, tahu pun ia tidak bermanfaat, dan jahilnya ia tidak memudaratkan.
“Firman Allah SWT yang bermaksud ‘Yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup’.
“Muhammad Abd al-Latif al-Khatib menyatakan di dalam tafsirnya: (Yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati), iaitu dikeluarkan ayam yang hidup daripada telur yang mati, dan dikeluarkan manusia yang hidup daripada mani yang pada zahirnya mati.
“(Mengeluarkan yang mati dari yang hidup), iaitu dikeluarkan telur daripada ayam, dan dikeluarkan mani daripada manusia dan haiwan,” katanya dalam laman web Maktabah al-Bakri.
Zulkifli berkata, dalam menjawab persoalan berhubung perkara itu, beliau menyatakan bahawa ayam dahulu yang diciptakan kerana Allah berfirman bahawa Dia telah menciptakan makhluk hidup termasuk haiwan berpasang-pasangan.
“Justeru, yang diciptakan dahulu adalah ayam sebelum telur. Hal ini sebagaimana firman Allah SWT bermaksud ‘Dan segala sesuatu Kami ciptakan berpasang-pasang supaya kamu mengingat akan kebesaran Allah’,” katanya.
Beliau berkata, keyakinan bahawa telur wujud sebelum ayam atau pertanyaan seumpama ini sebenarnya tidak bermanfaat sebagaimana dilakukan oleh ahli falsafah yang banyak merenung hakikat kehidupan dengan menggunakan logik akal sahaja.
“Syeikh Muhammad bin Soleh Al-Uthaimin berkata: Perselisihan yang panjang sebagaimana perselisihan mengenai ‘mana yang dahulu antara ayam atau telur’. Tidak ada manfaat untuk diperdebatkan mengenainya.
“Bahkan fakta sains juga menguatkan lagi pendapat bahawa ayam yang diciptakan secara berpasangan dahulu, barulah wujudnya telur,” katanya.
Zulkifli berkata, maka kesimpulannya, ayam lebih dahulu diciptakan daripada telur.
“Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita ilmu dan hikmah dalam memahami rahsia kehidupan yang luar biasa ini. Amin,” katanya.-Malaysiapost

