PRN Sabah: Isu pembangunan lebih penting – Ewon

0
3

KEPERLUAN pembangunan lebih penting berbanding isu pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dicanang parti lawan.

Perkara itu dinyatakan Calon Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko), Datuk Ewon Benedick yang mewakili Warisan Plus dalam usaha menarik sokongan pengundi di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian, Kota Belud.

Beliau tidak menafikan isu PATI memang wujud, namun usaha membawa pembangunan lebih utama.

“Calon yang bertanding di DUN Kadamaian semuanya baik dan mempunyai wawasan serta manifesto sendiri untuk kepentingan rakyat.

“Bagaimanapun ada sebahagian daripada mereka berkempen dengan membuat tuduhan melulu termasuk menjadikan isu PATI untuk menjatuhkan pihak lawan.

“Sebagai calon yang ingin dipilih sebagai wakil rakyat, kita harus fokus dengan isu pembangunan di kawasan yang kita wakili dan fokus saya bukan isu PATI, tetapi mahu menjayakan Pelan Induk Pembangunan Kadamaian.

“Aspirasi terkandung dalam pelan induk itu adalah aspirasi rakyat di semua 74 kampung. Oleh itu saya berharap diberi peluang untuk meneruskan khidmat kepada penduduk Kadamaian,” katanya.

Ewon adalah penyandang kerusi DUN Kadamaian yang dilantik sebagai Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah dalam Kabinet kerajaan negeri pimpinan Warisan.

Beliau tidak menafikan isu PATI memang wujud tetapi ia bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama wujud sebelum beliau lahir pada tahun 1980-an.

Jelasnya dalam Kabinet negeri yang diketuai Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebelum ini, ia dianggotai pelbagai kaum termasuk Kadzandusun, Cina dan kaum lain di Sabah.

“Sebagai penduduk asal negeri ini, anggota Kabinet lain tidak mungkin akan membiarkan PATI diberi hak keistimewaan seperti sering diperkatakan pihak pembangkang,” katanya.

Sementara itu, beliau menyifatkan tempoh kira-kira dua tahun berkhidmat di Kadamaian sebelum DUN dibubarkan pada Julai lalu terlalu singkat.

“Saya belum puas membantu rakyat di Kadamaian sebab masih banyak yang ingin saya laksanakan terutama menjayakan aspirasi rakyat dalam Pelan Induk Pembangunan Kadamaian 2020-2035.

“Pilihan raya ini adalah untuk memilih wakil rakyat yang boleh membantu rakyat  mendapatkan pembangunan infrastruktur, program perumahan rakyat termiskin (PPRT) dan membantu pelajar mendapatkan biasiswa,” katanya. – Malaysiapost