BEBERAPA rumah rosak dan pokok tumbang akibat ribut di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas di Ipoh, lewat petang tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 6.40 petang memaklumkan kejadian ribut kawasan sekitar Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas sebelum anggota bergegas ke lokasi.
“Setibanya jentera di lokasi kejadian didapati beberapa pokok tumbang dan beberapa rumah rosak. Tiada kecederaan dilaporkan setakat ini tetapi pemantauan di lokasi masih diteruskan” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu tular di media sosial berkenaan kejadian ribut dan pokok tumbang di beberapa kawasan di Bandaraya Ipoh terutama di Kampung Tawas.
Salah satu video berdurasi 9 saat memaparkan kejadian puting beliung sehingga menerbangkan beberapa kepingan atap dari premis berdekatan Kampung Tawas. -Malaysiapost

