SEPULUH Ketua Penerangan Bersatu bahagian Johor sebulat suara mengutuk tindakan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) parti itu yang keluar parti.
Dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan, Ketua Penerangan Bersatu Pagoh, Ledang, Labis, Muar, Bakri, Batu Pahat, Sembrong, Segamat, Sri Gading dan Ayer Hitam mengutuk keras kedua-dua pemimpin Bersatu itu namun mengakui sudah menjangka perkara itu akan berlaku.
“Kami mengutuk perbuatan Adun Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan Adun Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad yang keluar parti, selepas DUN Johor dibubarkan.
“Tindakan mereka ini bagaimanapun sudah dijangka, serta tidak menjejaskan perpaduan Bersatu Johor dan ukhuwah Perikatan Nasional (PN),” kata kenyataan berkenaan.
Terdahulu, media melaporkan PN Johor mengesyaki terdapat parti politik tertentu menjadi dalang berhubung tindakan beberapa Adun PN itu yang mengumumkan keluar parti, sejak Khamis lalu.
Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri, dilaporkan berkata tindakan berkenaan dipercayai untuk menjejaskan kewibawaan Bersatu.
Dalam pada itu, 10 ketua penerangan bahagian Bersatu itu turut menyambut baik ketetapan yang dibuat PAS untuk terus bersama Bersatu menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor atas nama PN.
Menerusi Resolusi Muzakarah PAS-Bersatu yang dimeterai semalam, kedua-dua parti akan mengambil daya usaha untuk melonjakkan sokongan undi penentu dalam kalangan pengundi atas pagar dan anak muda melalui penjenamaan dan mesej jelas yang diterima rakyat.
“Semua 10 ketua penerangan Bersatu Johor turut mencadangkan supaya semua pihak khususnya parti politik di Johor merangka strategi ampuh bagi menggagalkan muslihat Umno dan Barisan Nasional (BN).
“Umno dan BN dilihat semakin rakus, tamak kuasa dan gelojoh ingin mengadakan PRN Johor tanpa mengambil kira kesukaran.yang dialami oleh rakyat ketika masih berhadapan dengan ancaman wabak Covid-19,” kata kenyataan itu. -Malaysiapost

