JABATAN Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan seorang lelaki dipercayai mati ketika dalam perjalanan ke hospital selepas ditahan susulan mengamuk dan menyerang bapanya di sebuah rumah di Kampung Temong Hilir, Kuala Kangsar, semalam.
Pengarahnya Datuk Azri Ahmad, berkata Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar, dimaklumkan mengenai kejadian seorang lelaki berusia 38 tahun dipercayai pesakit mental mengamuk pada 7 malam tadi.
“Pihak polis yang tiba di lokasi mendapati suspek dalam keadaan agresif sedang bergelut dan ditahan di atas tanah oleh empat lelaki termasuk bapa suspek.
“Polis kemudian membantu menahan lelaki terbabit untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan dan semasa dalam perjalanan ke Hospital Kuala Kangsar, suspek didapati tidak sedarkan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, lelaki terbabit kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Kangsar.
“Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut (SDR) sehingga laporan bedah siasat diperolehi.
“Kes ini akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS, Bukit Aman,” katanya. – Malaysiapost

