‘Kluster mahkamah’ Umno aktif tutup pintu perpaduan negara – Wan Saiful

0
2

KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa kesatuan yang cuba diwujudkan antara PAS, Bersatu dan Umno bagi memperkukuh kestabilan politik dalam negara sentiasa diruntuhkan oleh ‘kluster mahkamah’ dalam Umno.

Menurutnya, rasa kesal berhubung perkara itu turut dizahirkan melalui resolusi  daripada muzakarah PAS dan Bersatu semalam.

Menurutnya, tujuh resolusi dalam muzakarah itu adalah jelas dan tegas serta memberi hala tuju jelas untuk memperkukuh kestabilan politik dalam negara.

“Dalam resolusi tersebut, kita mengulangi komitmen secara bersama kepada perjuangan menegakkan integriti, kejujuran, kestabilan dan perpaduan yang inklusif.

“Kita turut melahirkan rasa kesal dengan kerakusan kluster mahkamah dalam Umno yang secara aktif menutup pintu perpaduan dan menggugat kestabilan politik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan, Bersatu sentiasa komited mahukan perpaduan dan telah bersetuju menerima jemputan daripada Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Swang untuk menyertai Muafakat Nasional (MN) sebelum ini kerana mahukan kesatuan.

“Tetapi yang memerangi kesatuan ialah kluster mahkamah dalam Umno. Mereka lah yang menghasut Umno untuk menutup pintu kepada perpaduan dan sehingga hari ini mereka seolah-olah menunggang Umno untuk menyelamatkan diri sendiri.

“Padahal dalam Umno ramai yang ikhlas mahukan perpaduan dan kesatuan,” katanya.

Wan Saiful juga mendakwa penyokong kluster mahkamah Umno itu secara ‘berjemaah’ mengambil tindakan memaksa Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri sebelum ini.

“Mereka bersekongkol menjatuhkan Datuk Seri Faizal Azumu di Perak. Mereka berpakat menolak kesatuan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

“Dan penyokong kluster mahkamah juga dengan licik merancang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam kerakusan memburu kuasa di Johor juga,” katanya.

Beliau meminta jika ada yang ingin melihat kestabilan dan kesatuan politik negara supaya bertanyakan Umno kenapa membenarkan kluster mahkamah menguasai parti itu sehingga berlaku pergolakan berterusan politik negara.

“Kita sudah bersusah payah membina kesatuan supaya negara ini stabil. Umno mesti jawab kenapa mereka begitu rajin meruntuhkan kesatuan yang telah kita bina dan kenapa Umno begitu tamak mahu membolot kuasa.

“Adakah kluster mahkamah mempunyai kuasa yang begitu besar dalam Umno sehingga Umno sudah lari dari matlamat dan tidak peduli lagi dengan kestabilan politik Melayu?” soalnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here