ORANG ramai diingatkan agar melakukan ujian saringan kendiri Covid-19 sebelum pulang ke kampung dan bercuti sempena perayaan Tahun Baru Cina.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata langkah tersebut bagi mengelakkkan jangkitan berikutan sejak beberapa hari lalu, telah berlaku kenaikan kes Covid-19 di negara ini dengan bermulanya gelombang varian Omicron.
“Namun dengan kadar vaksinasi tinggi dan pematuhan prosedur operasi standar (SOP) yang kita amalkan, saya yakin kita semua dapat mengatasinya serta menyambut musim perayaan ini dengan lebih selamat.
“Laksanakan ujian kendiri sebelum mengunjungi kaum keluarga dan rakan-rakan serta sentiasa patuhi SOP semasa melakukan aktiviti ziarah anda.
“Semoga Tahun Harimau ini yang dikaitkan dengan sifat keberanian, berdaya saing, yakin serta bercita-cita tinggi dapat membawa kita semua keluar daripada pandemik yang dihadapi sekarang,” katanya dalam hantaran Facebook.
Pada masa sama, Khairy turut memuat naik video bersempena perayaan Tahun Baru Cina dan beliau mengucapkan selamat tahun baharu dalam berbahasa cina. – Malaysiapost

