KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mencegah diskriminasi terhadap pesakit kusta dan ahli keluarga mereka.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, berkata, penyakit kusta bukanlah penyakit keturunan atau satu ‘sumpahan’, tetapi ia penyakit berjangkit yang boleh sembuh melalui pemberian rawatan terapi pelbagai jenis ubatan.
Beliau berkata, penyakit kusta adalah penyakit kuno yang direkod seawal 1,500 tahun sebelum masihi serta tidak mudah dijangkiti, namun jika dijangkiti serta tidak diberi rawatan, ia boleh menyebabkan kecacatan kekal kepada pesakit.
“Kecacatan kekal ini mengundang kepada banyak masalah sosial ke atas pesakit dan keluarganya.
“Ia juga menjejaskan kualiti hidup dengan menjadikan pesakit tidak berupaya menguruskan diri sendiri lantas bergantung harap atas belas ihsan dan bantuan ahli keluarga serta jiran tetangga.
“Sempena sambutan Hari Kusta Sedunia 2022 pada hari ini, mari kita tingkatkan usaha mencegah diskriminasi terhadap pesakit kusta,” katanya dalam satu kenyataan media, sempena sambutan Hari Kusta Sedunia, hari ini yang bertemakan ‘Bersama Mencegah Diskriminasi’.
Menurutnya, kadar kecacatan kekal dalam kalangan pesakit kusta adalah pada sekitar 0.02 hingga 0.05 kes bagi setiap 100,000 penduduk atau bersamaan empat hingga lapan peratus daripada keseluruhan kes kusta dilaporkan setiap tahun.
Khairy berkata, KKM akan berusaha untuk mengenalpasti tahap keseriusan dan faktor diskriminasi melalui kajian sistematik dan pemantauan yang berkesan bagi penyakit kusta.
“Anggota kesihatan perlu menyalurkan maklumat yang benar dan tepat kepada orang awam mengenai penyakit kusta. Pastikan kita memberi rawatan yang sempurna kepada setiap pesakit yang ada.
“Berikanlah mereka hak untuk menerima perkhidmatan kesihatan yang mesra pelanggan dan mudah capai,” katanya.
Khairy menegaskan, setiap pesakit perlu bebas dari cemuhan atau pengusiran akibat penyakit atau kecacatan fizikal yang terzahir.
“Jika mereka mengasingkan diri, sama-sama kita mendekati mereka dengan kata-kata semangat, dorongan dan bantuan.
“Berilah mereka kehormatan diri, kebebasan pergaulan dan peluang untuk menikmati kehidupan yang sejahtera, sama seperti orang lain,” katanya. – Malaysiapost

