
JEMAAH umrah yang bakal berangkat ke tanah suci bermula 8 Februari depan diingatkan agar tidak menipu sijil vaksinasi mereka.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata kerajaan akan membuat pemeriksaan teliti berkait dengan perkara itu bagi mengelakkan individu yang menipu sijil vaksin tidak lolos untuk mengerjakan ibadah berkenaan.
Menurutnya, tindakan menipu sijil vaksinasi itu bercanggah dengan amalan umat Islam malah amalan tersebut tidak baik kerana umrah merupakan salah satu ibadah yang digalakkan.
“Selain sijil yang tulen, para jemaah juga perlu melengkapkan suntikan dos penggalak seperti yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan.
“Semua jemaah umrah yang dijangka berlepas ke tanah suci bermula 8 Febuari ini diingatkan supaya kekal patuh kepada SOP sepanjang berada di Arab Saudi,” katanya dipetik Kosmo, hari ini.
Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengumumkan kerajaan menangguhkan ibadah umrah buat sementara waktu berkuat kuasa 8 Januari lalu berikutan penularan jangkitan Omicron.
Bagaimanapun, umat Islam di negara ini boleh menarik nafas lega selepas kerajaan memutuskan kebenaran menunaikan umrah bermula 8 Februari depan. -Malaysiapost
