COVID-19: 30 sekolah di Lahad Datu tutup mulai esok

0
3

SEBANYAK 30 sekolah di sekitar Lahad Datu, Silam dan Silabukan ditutup sementara bagi mengelak penularan pandemik Covid-19, mulai esok.

Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah, Dr Mistirine Radin dalam satu kenyataan hari ini, berkata penutupan sekolah itu dibuat berdasarkan arahan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi membantu Jawatankuasa Bencana Daerah dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menangani pandemik itu.

Bagaimanapun, katanya proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka di bilik darjah masih dilaksanakan membabitkan pelajar tingkatan lima dan enam di lima sekolah menengah di sekitar daerah itu.

“Justeru, saya berharap guru dan murid yang terlibat perlu sentiasa patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan pandemik Covid-19 tidak terus merebak,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh penutupan sekolah itu, pengajaran dan pembelajaran bagi kelas pra-sekolah hingga tingkatan empat akan dilaksanakan secara dalam talian dan luar talian.

Penutupan sekolah di Lahad Datu sudah dilakukan membabitkan beberapa sekolah sejak awal bulan ini bagi melaksanakan proses nyahkuman berikutan peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan di daerah itu sejak kebelakangan ini.

Ia bermula dengan 10 sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agaseh, SMK Silabukan, SMK Tungku dan tujuh sekolah rendah.

Sekolah rendah yang terbabit pula ialah Sekolah Kebangsaan (SK) St Dominic, SK St Stephens, SK Bikang, SK Permai, SK Pekan, SK Binuang dan SK Silabukan.

“Namun di SK Silabukan hanya membabitkan penutupan beberapa kelas oleh KKM,” katanya.

Selain di Lahad Datu, sebuah sekolah di Tawau iaitu SK Ladang Tiger, manakala tiga sekolah di Kunak turut ditutup sehingga hari ini iaitu SMK Kunak, SK Kunak Jaya dan SK Kunak 2.

Hari ini, Sabah mencatat pertambahan 60 kes baharu Covid-19 dengan 40 kes dilaporkan di Tawau diikuti Semporna (14), Kunak (tiga) dan Lahad Datu (dua).

Ia menjadikan kes positif Covid-19 di Sabah yang masih dirawat meningkat kepada 653 kes dengan yang tertinggi dicatatkan di Tawau dengan 449 kes diikuti Lahad Datu (93), Semporna (48) dan Kunak (33).- Malaysiapost