KESATUAN Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) hari ini menyenaraikan enam masalah dihadapi guru membabitkan tugas tidak relevan pengisian Deskripsi Tugas.
Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock, meminta Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin melihat semula isu pengisian Deskripsi Tugas dalam kalangan guru-guru agar tidak membebankan mereka.
Jelasnya, guru tidak sepatutnya dibebankan dengan tugas sehingga mengabaikan tanggungjawab mendidik anak bangsa.
“Adalah dimaklumkan bahawa pihak NUTP telah menerima aduan ahli-ahli NUTP mengenai pengisian Diskripsi Tugas.
“Pihak NUTP berpendapat kerja-kerja pengisian seperti ini adalah terbeban dan tidak relevan kerana tujuan dan matlamat pengisian adalah tidak jelas.
“Ia seumpama sekadar melengkapkan dokumen dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) atau hanya untuk kegunaan perkhidmatan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Jelas kenyataan itu, masalah yang dihadapi para guru adalah tempoh mengisi Deskripsi Tugas yang terhad dan terlalu terperinci.
Selain itu katanya, guru juga perlu mengisi sembilan bahagian bagi setiap gred, masalah teknikal iaitu butiran yang diisi dan disimpan hilang apabila dibuka semula, serta kerja pengisian terganggu kerana sistem tergendala.
Katanya guru juga perlu mengisi gred-gred hakiki semasa sehingga Deskripsi Tugas gred tertinggi (DG54), contohnya, guru gred DG29 perlu mengisi Deskripsi Tugas gred DG29 sehingga DG54.
“NUTP menerima aduan guru terpaksa mengisi Deskripsi Tugas di bahagian ‘Akauntabiliti-bahagian tugas utama’ sebanyak 11 kali kerana data yang diisi sebelum ini telah hilang,” katanya lagi- Malaysiapost

