Kenderaan dijangka meningkat 1.6 juta musim perayaan – PLUS

0
3

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjangkakan peningkatan jumlah trafik daripada 1.4 juta kepada 1.6 juta kenderaan, sepanjang perayaan Tahun Baharu Cina bermula hari ini hingga 6 Februari depan.

Sehubungan itu, PLUS mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi menguruskan peningkatan trafik yang mendadak, sekali gus sebagai rujukan dan panduan orang ramai dalam merancang perjalanan mereka.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, PLUS menggalakkan orang ramai merancang perjalanan berpandukan kepada TTA.

Katanya, ia bagi mengelak kemungkinan kesesakan di lebuh raya apabila kenderaan yang menuju ke pelbagai destinasi, terkumpul di satu-satu lokasi lebuh raya secara serentak.

“Orang ramai yang akan bergerak meninggalkan Lembah Klang untuk ke destinasi di utara seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Utara Perak, serta Johor di selatan disarankan supaya mula memasuki lebuh raya sebelum 10 pagi.

“Untuk ke destinasi yang lebih hampir dengan Lembah Klang, orang ramai dinasihatkan supaya mula memasuki lebuh raya selepas jam 1 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, selain itu orang ramai
turut diingatkan supaya sentiasa berwaspada dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan, ketika berhenti rehat di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) serta hentian sebelah di sepanjang lebuh raya.

“Pada ketika ini, pendaftaran menerusi MySejahtera masih lagi dikuatkuasakan dan orang ramai yang telah lengkap divaksin dibenarkan untuk makan di ruang makan di R&R.

“Pengguna lebuh raya diingatkan memandu dengan lebih berhati-hati dan lebih peka ketika hujan, serta mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum memulakan pemanduan.

“Perancangan perjalanan yang teliti dan penyelenggaraan kenderaan perlu diberi keutamaan bagi meningkatan keselamatan, selain daripada pemakaian tali pinggang keledar keselamatan di tempat duduk hadapan dan belakang, serta kerusi keselamatan kanak-kanak,” katanya.

PLUS memaklukan pasukan PLUSRonda sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan kepada pengguna lebuh raya dan boleh dihubungi menerusi talian PLUSLine 1800-88-0000 yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Seramai 5,000 kakitangan dari ekosistem lebuh raya akan bertugas dan bersedia memastikan segala operasi dan perkhidmatan lancar.

Seramai 587 anggota Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Pengangkutan Jalan, St John Ambulance serta Persatuan Bulan Sabit Merah, akan diletakkan dalam keadaan bersedia 24 jam sehari bermula dari 24 Januari hingga 8 Februari depan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here