Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini, meninjau ibu negeri Pahang dari ‘skydeck’ Menara Kuantan 188.
Beliau berkata, menara itu menyajikan pemandangan 360 darjah keseluruhan bandaraya Kuantan.
Menurutnya, menara tersebut merupakan produk pelancongan terkini dan ikonik yang dibangunkan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di pesisir Sungai Kuantan.
“Konsep reka bentuk pembinaan menara ini diinspirasikan daripada daun dan bunga pokok Teruntum Putih yang dulunya banyak terdapat di pinggir Sungai Kuantan,” katanya menerusi Facebook.

Menara Kuantan 188 adalah menara kedua tertinggi di Malaysia selepas Menara Kuala Lumpur.
Seramai 23,600 pelawat telah mengunjungi menara berkenaan sejak ia dibuka secara rasmi pada 15 Disember lalu.
Menara berkenaan mempunyai reka bentuk menegak dan profil tirus melambangkan senjata Melayu lama iaitu lembing dan hujung bilah lembing – seperti di Jata Negeri Pahang. – Malaysiapost

