POLIS menahan dua individu terbabit dalam kejadian rusuhan di hadapan sebuah restoran di kawasan Station 18, Ipoh malam tadi yang dipercayai berlaku akibat salah faham mengenai kecurian telefon bimbit.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid, berkata pihaknya mengesan satu hantaran awal pagi tadi yang tular di media sosial membabitkan video pergaduhan di hadapan restoran berkenaan.
Menurutnya, hasil semakan mendapati pihak polis telah pun menerima laporan mengenai kes berkenaan pada jam 11.51 malam tadi.

“Kejadian membabitkan seorang lelaki yang memandu sebuah kereta dan telah dituduh mencuri telefon bimbit.
“Berikutan daripada tuduhan itu, lelaki berkenaan dikejar sehingga kenderaan dipandunya melanggar sebuah kereta lain di hadapan restoran berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu berlakunya rusuhan oleh sekumpulan remaja yang dipercayai pekerja Food Panda dan kenderaan lelaki terbabit dirosakkan dengan menggunakan kerusi plastik, batu serta kon plastik.
“Siasatan mendapati punca kejadian adalah disebabkan salah faham dan tuduhan kecurian telefon bimbit oleh mangsa yang tidak dapat dibuktikan.
“Polis telah menahan dua lelaki dipercayai terbabit dalam kejadian itu dan suspek lain yang terlibat sedang dikesan untuk membantu siasatan,” katanya.
Menurutnya, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana perbuatan merusuh serta khianat.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil memberi keterangan dan boleh menyalurkan ya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Sahridin Saat di talian 011-6494 6477 atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Polis juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat serta menggangu siasatan,” katanya. – Malaysiapost

