PRN Johor: PAS bukan minta ‘sedekah’ – Hadi

0
3
https://www.facebook.com/photo/?fbid=486176972866382&set=pb.100044222510324.-2207520000..

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengingatkan Barisan Nasional (BN) dan Umno bahawa parti itu bukan meminta ‘sedekah’ untuk pembahagian kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, PAS mempunyai kekuatan dan strategi sendiri untuk bertanding dalam PRN berkenaan tanpa mengharap belas mana-mana pihak.

“Kita bukan minta sedekah kepada mereka (Umno), PAS ada kekuatan sendiri.

“Untuk kerusi PRN Johor, PAS belum muktamadkan, tapi mereka (Umno) nak beri kita (kerusi) (hanya) khabar angin tidak ada rundingan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, PAS tidak bersetuju dengan penganjuran PRN berkenaan kerana ia disifatkan tidak sesuai untuk diadakan, selain menyusahkan rakyat.

“Jadi saya nak maklum, bagi PAS kita ada batas, ada sempadan. Jangan buatlah pilihan raya negeri-negeri lagi, kalau (Umno) buat lagi kita ada strategi kita.

“PAS ada kekuatan sendiri, kita ada 197 kawasan di seluruh negara daripada 220 kawasan Parlimen. Hanya 25 sahaja yang tidak ada (bukan) kawasan PAS,” katanya.

Beliau berkata, PAS juga mempunyai sejuta ahli dengan 800,000 daripadanya adalah ahli aktif yang mempunyai kekuatan tersendiri.

“Buat pilihan raya negeri-negeri yang Umno kuat, lepas ini mana pula, Perak pula? janganlah (terus) susahkan rakyat.

“PAS juga ada negeri yang kita kuat seperti Terengganu, Kelantan dan Kedah,” katanya.

Dalam pada itu, Abdul Hadi berkata, beliau maklum bahawa Umno dan BN akan menggunakan strategi sama ketika PRN Melaka untuk menghadapi PRN Johor.

Namun, katanya, kejayaan Umno dan BN di Melaka itu hanyalah bergantung kepada undi teras parti itu, selain ia bukan ukuran sebenar khususnya di kalangan pengundi muda dan atas pagar.

“Kita tahu strategi di Melaka akan dibawa ke Johor. Namun, ketika PRN Melaka pengundi tidak keluar, hanya 60 peratus sahaja.

“Selain itu pengundi atas pagar, pengundi muda tidak semua keluar (mengundi). Malah, undi Umno hanya naik satu peratus sahaja di Melaka.

“Namun undi PAS ada yang naik 100 peratus, tetapi tak cukup lagi (untuk menang),” katanya.

Justeru, Abdul Hadi berkata, PAS tidak teragak-agak untuk melaksanakan strategi sendiri jika Umno masih berterusan bersikap demikian.

“PAS pun ada strategi juga. Bila tiba masanya kita akan buat strategi ini.Kita juga masuk (bertanding) PRN Johor, (jadi) tunggu dan lihat apa yang berlaku lepas ini,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here