KERAJAAN merancang untuk melaksanakan undang-undang melarang penjualan rokok dan produk tembakau kepada golongan yang dilahirkan selepas 2005.
Memetik laporan CodeBlue, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata beliau berharap undang-undang itu dapat diluluskan pada tahun ini.
“Seperti di beberapa negara Pasifik Barat yang lain, Malaysia berharap untuk diluluskan undang-undang tersebut pada tahun ini.
“Ia akan membawa satu pengakhiran kepada rokok dengan melarang penjualan tembakau dan produk rokok yang lain kepada sesiapa dilahirkan selepas 2005,” katanya ketika sesi ke-150 pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif Pertubuhan Kesihatan Sedunia di Geneva.
Menurut beliau, pelaksanaan itu kerana ia memberi panduan penting tentang program negara masing-masing dalam mencapai matlamat berkaitan NCD (penyakit tidak berjangkit).
“Malaysia merasakan ini akan memberi kesan yang besar dalam mencegah dan mengawal NCD,” katanya.
Laporan itu menyatakan bahawa terdapat lebih 27,200 kematian berkaitan merokok dilaporkan di Malaysia setiap tahun.
Sebagai perbandingan, terdapat 31,058 kematian Covid-19 yang disahkan tahun lepas, yang menjadikan sebagai kemungkinan punca utama kematian pada 2021.
Khairy sebelum ini berkata beliau akan membentangkan Akta Kawalan Tembakau dan Merokok terbaru dalam mesyuarat Parlimen akan datang, yang akan menggantikan undang-undang kawalan tembakau sedia ada di bawah Akta Makanan 1983.
Undang-undang baru itu juga akan mengawal selia e-rokok dan produk vape. – Malaysiapost
Kredit Foto: unsplash.com

