SEORANG wanita warga emas kerugian RM1 juta selepas menjadi mangsa sindiket Macau Scam menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat telekomunikasi dan pegawai polis.
Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun itu menerima panggilan daripada individu mengaku pegawai Telekom Malaysia (TM) pada 15 Januari lalu.
Katanya, suspek mendakwa, maklumat peribadi mangsa digunakan pihak lain untuk pendaftaran talian dan mempunyai tunggakan baki bayaran.
“Panggilan itu kemudiannya disambungkan pula kepada seorang ‘pegawai polis’ dan dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan namanya terbabit jenayah narkotik dan pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Madishiham berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan rumah sewa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya berjumlah RM1 juta ke dalam tujuh akaun bank berasingan kononnya untuk tujuan siasatan.
“Sebaik selesai membuat pemindahan wang, mangsa cuba menghubungi semula ‘pegawai polis’ itu, namun gagal.
“Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee dan siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi,” katanya.- Malaysiapost

