“DIA ingat Umno akan lantik dia sebagai calon,” kata Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Muhyiddin berkata demikian susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang mengumumkan keluar parti itu, hari ini.
Jelas Muhyiddin, tiada keperluan untuk Bersatu memikirkan tentang tindakan Mazlan itu kerana kerajaan negeri Johor ketika ini sudahpun dibubarkan.
“Di mana maruah dan mengapa dia berkelakuan begini? Mengapa hanya sekarang baru nak bersuara atau dia tahu tidak akan menjadi calon Bersatu (dalam PRN Johor).
“Dia (Mazlan) mahu sertai Umno? Dia ingat Umno akan lantik dia sebagai calon. Berapa ramai orang yang dibawa sekali, dua? Mengapa tidak 200,000 orang,” katanya.
Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) di pejabat Bersatu Bahagian Pagoh, hari ini.
Selain itu, bekas Perdana Menteri itu juga turut mempersoalkan di mana maruah Mazlan yang menang dalam Pilihan Raya Umum pada 2018 lalu atas tiket Bersatu ketika itu.
Terdahulu, Mazlan mengumumkan meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, sekali gus keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
Mazlan berkata, beliau bagaimanapun tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
Katanya, keputusan itu diambil selepas menilai dan menimbang perkara itu sejak sekian lama dengan pemikiran yang waras. – Malaysiapost

