KIRA-KIRA 10 kenderaan orang awam rosak akibat dihempap pokok dan bumbung dalam dua kejadian ribut berasingan di sekitar Seksyen 13 di Shah Aalam, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 5 petang itu membabitkan beberapa kawasan termasuk Jalan Subang berdekatan Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dan kawasan parkir sebuah pasar raya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Pengarah Bomba Selangor, Norazam Khamis, berkata Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian pertama di Jalan Subang.
“Pemeriksaan mendapati dua kenderaan dihempap pokok yang tumbang di jalan menuju ke Lebuh Raya Persekutuan berkenaan.
“Namun, tiada mangsa cedera dan mereka berjaya keluar sebelum ketibaan bomba,” katanya seperti dilaporkan Kosmo Online.
Beliau berkata, kerja pemotongan masih giat dijalankan dan laluan berkenaan terpaksa ditutup kepada semua kenderaan setakat ini.
Dalam pada itu, Norazam memberitahu, sebanyak lapan kenderaan rosak selepas dihempap bumbung parkir sebuah pasar raya. – Malaysiapost
kredit foto : Kosmo

