JHEAINS pantau ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan

0
2

JABATAN Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) akan melakukan intipan dan pemantauan terhadap ajaran ‘mimpi’ lelaki Pakistan yang disebarkan oleh kumpulan dikenali Gerakan Akhir Zaman (Gaza).

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad, berkata bagaimanapun setakat ini pihaknya masih belum mendapat maklumat wujud ajaran sesat baharu itu di Negeri Sembilan.

“Masyarakat diharap dapat menyalurkan maklumat jika ada dengar usaha menyebarkan ajaran baharu ini di Negeri Sembilan.

“Pihak JHEAINS sentiasa mengadakan intipan dan pemantauan berkenaan kes-kes ajaran sesat sama ada besar atau kecil,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Beliau berkata, masyarakat Islam juga diminta berwaspada terhadap kemunculan ajaran sesat dan merujuk kepada pihak berautoriti jika ada yang meragukan.

Mohd Yusof berkata, apa yang dikesalkan kebanyakan mereka yang terpedaya dengan ajaran sesat merupakan orang berpendidikan dan berkerjaya.

“Masyarakat kita sekarang ini ramai cerdik pandai dan sepatutnya dapat bezakan sama ada yang diterima adalah ajaran sebenar atau sesat.

“Kalau rasa pelik, rujuk dulu dengan pihak yang mempunyai pengetahuan dalam bidang itu dan bukan menerimanya begitu saja,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, sebuah kumpulan yang mengajak orang ramai untuk mempercayai seorang lelaki dari Pakistan menerusi mimpinya mengenai akhir zaman telah mula bertapak di negara ini.

Kumpulan dikenali sebagai Gerakan Akhir Zaman (Gaza) itu berasal dari Indonesia dan dikatakan sedang membuat persiapan untuk akhir zaman berdasarkan mimpi Muhammad Qasim Abdul Karim yang mendakwa hanya mengikut kehendak Allah SWT di dalam mimpinya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here