Vaksinasi kanak-kanak 5 hingga 12 tahun mulai 3 Februari

0
1

PEMBERIAN vaksin untuk kanak-kanak berusia lima hingga bawah 12 tahun melalui Program Imunisasi Covid Kanak-kanak (PICKids) akan dilaksanakan mulai 3 Februari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, berkata dianggarkan seramai empat juta kanak-kanak layak menerima vaksin jenis Comirnaty10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech).

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak berusia 5 hingga bawah 12 tahun bermula Februari ini melalui PICKids.

“Penghantaran pertama akan tiba pada 28 Januari 2022 dari Belgium dan vaksin ini akan dihantar ke 52 pusat simpanan Vaksin Ultra Low Freezer (ULTF) di seluruh negara.

“Justeru, saya ingin menekankan bahawa vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak adalah selamat dan berkesan. Ini juga disokong dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Kolej Pediatrik, Academy of Medicine Malaysia pada 20 Januari 2022,” katanya pada sidang media hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai permulaan, pemberian vaksin Pfizer (kanak-kanak) akan dilaksanakan di Lembah Klang melalui hospital-hospital, bagi kanak-kanak yang mempunyai masalah perubatan.

“Manakala pemberian vaksin bagi kanak-kanak yang tiada masalah perubatan akan diberi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

“Seterusnya ini akan diperluaskan ke sekolah dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia. Kaedah pemberian lain yang telah dikenal pasti adalah PPV Offsite, klinik swasta, klinik kesihatan dan program jangkau luar (outreach).

“KKM juga telah memulakan kerjasama dengan agensi-agensi pemegang taruh yang lain seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Jabatan Kemajuan Masyarakat, persatuan dan pertubuhan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat akses kepada vaksinasi Covid-19,” katanya.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan bahawa Sistem Tempahan Janji Temu melalui Aplikasi MySejahtera akan dibuka bagi memudahkan ibu bapa atau penjaga membuat tempahan janji temu.

Katanya, sehingga hari ini, 484,639 kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun telah mendaftar di MySejahtera.

“Melalui kaedah ini, ibu bapa atau penjaga boleh memilih lokasi serta masa vaksinasi yang sesuai untuk anak mereka.

“KKM juga mempelawa ibu bapa atau penjaga kepada kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun yang tinggal di Lembah Klang untuk membuat tempahan janji temu untuk anak-anak mereka.

“Pelaksanaan sistem janji temu akan diperluaskan ke negeri lain dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here