Mazlan Bujang keluar Bersatu, umum sokong BN

0
2

KETUA Bahagian Bersatu Tebrau, Mazlan Bujang meletak jawatan sebagai ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, berkata beliau tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyatakan sokongan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkuat kuasa serta merta dan keluar dari Bersatu.

“Saya juga ingin mengisytiharkan tidak menjadi ahli mana-mana parti, tetapi menyokong kerajaan BN.

“Selain itu, turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bersatu Bahagian dan 23 ketua cawangan, ahli jawatan kuasa serta pegawai bahagian Tebrau,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata beliau menyokong Datuk Hasni Mohammad untuk dilantik semula sebagai Menteri Besar Johor.

“Ia mewujudkankan kestabilan politik demi masa depan negeri Johor yang lebih baik.

Mengulas lanjut, Mazlan berkata, keputusan itu diambil berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil.

Katanya, ia termasuk kepimpinan yang diyakini dan berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir Johor dengan baik.

“Justeru, saya merayu semua ahli dan penyokong saya dan Bersatu berfikir dan menyokong kepimpinan Mohamad Hasni dan BN dalam PRN johor yang akan diadakan tidak lama lagi,” katanya.

Ditanya, mengenai tindakannya itu, Mazlan enggan mengulas lanjut selain mengakui dianaktirikan di dalam Bersatu.

Mengulas mengenai surat peletakkan jawatan, Mazlan berkata, beliau akan menyerahkannya kepada pucuk pimpinan parti dalam masa terdekat.

“Malah, saya yakin menjelang penamaan calon ramai akan ikut jejak langkah saya,” katanya.

Sebelum ini, Mazlan memberi bayangan tidak kekal lama dalam parti ekoran hubungan dengan Pengerusi Bersatu Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu.

Difahamkan sejak bekas Perdana Menteri kelapan itu memegang jawatan berkenaan, Mazlan tidak pernah hadir sekali pun mesyuarat ketua-ketua Bahagian Johor. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here