KEMENTERIAN Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyita beberapa tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dan industri bernilai RM62,448 dalam serbuan di sebuah premis di Banting, Selasa lalu.
Pengarahnya, Muhammad Zikril Azan Abdullah berkata, serbuan dijalankan sepasukan Penguat Kuasa daripada Unit
Serbuan dan Taktikal (STAS) KPDNHEP Selangor hasil daripada risikan awal yang telah dibuat sebelum ini.
Menurutnya, operasi itu dijalankan hasil daripada maklumat mengenai aktiviti pemindahan LPG dari tong subsidi 14 kilogram (kg) kepada tong kegunaan industri 50kg di premis berkenaan.
“Hasil serbuan dan pemeriksaan awal mendapati premis yang diperiksa memiliki lesen runcit yang telah tamat tempoh sah iaitu pada 9 Januari 2020.
“Pada masa sama, pasukan serbuan telah menjumpai dan menahan seorang lelaki warganegara yang berada di sekitar premis
semasa serbuan dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu tindakan sitaan telah dibuat ke atas beberapa jumlah unit tong LPG yang terdiri daripada berat 14kg, 12kg, 50kg dan barangan lain yang dijumpai di sekitar lokasi serbuan.
“Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM 62,448.20 dan siasatan dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Muhammad Zikril turut memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan dan tidak sesekali melanggar mana-mana peruntukan perundangan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika seperti ini boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi Portal e-aduan.kpdnhep, Call Centre 1-800-886-800 dan emel [email protected].
“Aduan juga boleh dibuat melalui Ez ADU KPDNHEP serta Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) di talian 03-8882 6088/6245
atau Whatsapp 019-279 4317,” katanya. – Malaysiapost

