Bekalan Air di 142 kawasan Petaling, Klang pulih esok

0
3
air selangor

BEKALAN air di 142 kawasan di Wilayah Petaling dan Wilayah Klang susulan kejadian paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam semalam, dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi esok.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata insiden paip pecah yang berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga itu telah siap dilaksanakan.

Katanya, bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat ke premis pengguna.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Justeru, bantuan alternatif melalui lori lori tangki masih lagi digerakkan ke kawasan kawasan yang terjejas, dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual ini,”
katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau memohon kerjasama orang ramai untuk mematuhi penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka semasa mendapatkan bekalan air daripada lori-lori tangki.

“Air Selangor juga ingin menasihati para pengguna untuk menggunakan air secara berhemat bagi memastikan proses pemulihan bekalan air di kawasan yang terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media masa.

“Para pengguna boleh merujuk kesemua saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan Twitter atau hubungi Pusat Perhubungan Air Selangor di talian 15300.

“Air Selangor juga ingin menggalakkan para pengguna untuk mengajukan sebarang pertanyaan atau aduan menerusi saluran komunikasi tanpa suara di Help Centre yang boleh didapati di www.airselangor.com dan aplikasi Air Selangor,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here