Kertas siasatan kes gangguan seksual membabitkan Adun Sedili sudah lengkap

0
3

POLIS sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung dakwaan gangguan seksual membabitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sedili, Rasman Ithnain terhadap seorang wanita yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya masih menunggu arahan lanjut berhubung kes berkenaan.

“Seperti yang dimaklumkan sebelum ini, seramai 11 individu telah memberikan keterangan membabitkan kes itu termasuk Adun dan pengadu dalam kes ini,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Hussin Zamora, sebelum ini mengesahkan menerima laporan polis dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi.

Mangsa mendakwa telah diganggu secara seksual ketika hadir ke program dihadiri Adun berkenaan bermula dengan kejadian pertama pada 2 Januari lalu namun mendiamkan diri kerana takut berlaku perkara yang tidak diingini.

Kejadian kedua dan ketiga pula dikatakan berlaku pada 3 dan 12 Januari, namun mangsa mendakwa tidak berani untuk menceritakannya kerana memikirkan status selain bimbang dinafikan perkara itu.

Mangsa akhirnya nekad untuk membuat laporan polis selepas diraba di bahagian sulit pada kejadian terakhir 13 Januari lalu.

Media sebelum ini turut melaporkan Rasman yang juga Ketua Bersatu Bahagian Kota Tinggi menafikan tuduhan gangguan seksual yang dibuat berkenaan.

Rasman berkata, dakwaan berkenaan dilihat sebagai konspirasi politik dan cubaan untuk menjatuhkan maruahnya serta mencalar reputasinya selaku seorang wakil rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here