‘Tiada pawang lagi mampu merawat Umno selain kekalahan’

0
3

Mokhtar Senik

SAYA tidak tujukan status ini kepada sesiapa yang mencintai Muafakat Nasional (MN) sama ada dari PAS mahupun ahli-ahli Umno.

Melihat kepada perkembangan terkini Umno kelihatan sangat ghairah untuk kembali berkuasa secara bersendirian tanpa PAS dan Bersatu. Erti kata lain ingin mengembalikan kuasa Barisan Nasional (BN) dengan Umno sekali lagi menjadi tulang belakangnya.
Keghairan itu semakin memuncak selepas berjaya menukar Perdana Menteri dari Bersatu kepada Umno. Kemudian diekori dengan kemenangan besar Umno di Melaka dan terkini cubaan menguasai Johor pula.

Suara Umno Kelantan dan Johor menolak kerjasama dengan PAS mula bergema. Sebelum ini gema tersebut telah disuarakan oleh Umno Terengganu. Kelihatan yang masih agak sayang kepada MN hanya Umno Selangor, Perlis dan Pahang. Negeri lain saya tidak pasti. (sedang memerhati perkembangannya).

Umno sudah semacam kembali dirasuk sifat asal mereka iaitu tamakkan kuasa dan rakuskan kerusi. Umno sudah lupa sama sekali dengan kemenangan yang mereka perolehi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini hasil bantuan dan pertolongan PAS.

Namun kelihatannya tiada pawang lagi yang mampu merawat Umno selain sebuah kekalahan. Sebelum ini saya menyebut kalau benar-benar ikhlas perjuangan ini demi agama, bangsa dan negara, maka Umno, PAS dan Bersatu duduklah baik-baik.

Jangan ada siapa nak jadi ABANG LONG kepada siapa. Kerana gabungan ketiga-tiga parti gergasi orang Melayu ini sudah cukup untuk menyekat Pakatan Harapan (PH) kembali berkuasa. Saya sebut “jangan ada siapa yang nak jadi ABANG LONG kepada siapa” itu dengan maksud jangan ada mana-mana parti terasa mahu mendominasi gabungan itu.

Kerana dari pengamatan saya, jika mana-mana parti merasa dia lebih besar dari parti-parti lain dalam gabungan itu maka gabungan itu akan pecah. Tidak salah jika memberikan Umno lebih kerusi berbanding PAS dan Bersatu kerana hakikatnya ahli Umno lebih ramai dari keahlian PAS dan Bersatu.

Tetapi lebihan kerusi itu jangan sampai Umno mampu membentuk kerajaan sendiri tanpa PAS dan Bersatu. Pada saya Umno boleh dipapah dan dibantu untuk kuat tetapi tidak boleh dirawat sehingga menjadi TERLALU KUAT kerana bila merasa terlalu kuat Umno akan mula lupa dan hilang keinsafannya.

Apa yang saya bayangkan itu ternyata benar. Itulah yang sedang berlaku kepada Umno sekarang. Umno dah rasa terlalu sihat sebelum rawatan selesai. Umno dah rasa sangat kuat.

Perlu disedari bahawa latar belakang politik Malaysia ini mana-mana parti tidak akan berjaya menjadi kerajaan tanpa gabungan dengan parti-parti lain. Penguasaan Umno selama ini sebagai kerajaan pun kerana bergabung dengan belasan parti lain dalam BN.
Sejarah juga membuktikan apabila PH dibentuk hasil gabungan DAP, PKR dan Amanah serta penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad mereka berjaya mengalahkan BN dan Umno. Sebuah kekalahan yang mengejutkan. Oleh itu Umno perlu sedar bahawa Umno sekarang sudah tidak sama dengan Umno dahulu. BN sekarang dah tak sama dengan BN dahulu.

UMNO dahulu adalah Umno yang perkasa. Ahli Umno zaman Tun Razak, zaman Tun Hussain, zaman Tun Mahathir, zaman DS Najib adalah ahli yang DENGAR KATA kepada presiden. Tetapi sekarang Umno zaman Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Zaman ahli dah tak dengar kata presiden.

Zaman Umno dah bermazhab-mahzab. Zaman Umno dah banyak klusternya. Hakikatnya Umno belum sihat dari tumbukan TKO PRU14 lalu. Pendarahan dalaman masih parah bahkan semakin parah. Umno tidak mampu pergi jauh secara sendirian ke tengah gelanggang musuh. Yang kedua BN juga sudah tidak sama dengan BN sebelum PRU14. BN yang ada sekarang adalah BN yang sudah rapuh. Kesetiaan parti-parti komponan BN kepada parti tulang belakangnya telah longgar dan kendur. Penyakit osteoporosis dihidap BN menjadikan BN sangat lemah untuk menghadapi gabungan PH yang masih kuat.

Tiada pilihan bagi Umno selain menguatkan barisan Umno + PAS + Bersatu. Tapi dengan syarat jangan nak jadi ABANG LONG. Setakat jadi ABANG NGAH tu boleh. Belajar tawadhuk dan setiakawan. Insya-Allah gabungan ini akan kuat demi agama, bangsa dan negara.
.
Penulis ialah Ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Pusat
(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis yang dipetik dari tulisan di Facebook beliau, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here