YANG di-Pertuan Agong hari ini menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed bin Zayed Al-Nahyan dan kerajaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas sumbangan sejuta vaksin Covid-19 Sinopharm.
Kumpulan 500,000 pertama vaksin berkenaan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kelmarin dan disambut Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Bekalan kumpulan kedua 500,000 dos dijadualkan tiba dalam masa dua minggu lagi.
Susulan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan penghargaan kepada Saifuddin; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin atas pelaksanaan kerjasama antara Malaysia dan UAE dalam menjayakan sumbangan bekalan vaksin berkenaan.
“Sumbangan ini jelas membuktikan persahabatan akrab dan hubungan dua hala kukuh antara kedua-dua negara.
“Semoga sumbangan ini akan membantu Kerajaan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dalam memerangi dan membendung penularan virus ini,” kata Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerusi kenyataan yang dimuatnaik di Facebook Istana Negara hari ini.
Sebelum ini, UAE menyumbang 20,000 unit kit ujian PCR dan tujuh tan sanitizer melalui program Stok Peralatan Diplomatik Malaysia (MDES) bagi penggunaan kedutaan Malaysia di luar negara.
Seri Paduka Baginda seterusnya menyeru rakyat untuk bersama mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi daripada sebarang musibah dan penularan Covid-19 dapat dibendung dan diakhiri dengan berkesan serta segera. – Malaysiapost

