Covid-19: Kes harian kekal 2 angka

0
3

Covid-19 | Sebanyak 13 kes baharu dicatat hari ini, sekali gus kes harian kekal dua angka, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

“Daripada jumlah itu, 10 kes merupakan penularan dalam negara, manakala tiga kes lagi membabitkan kes import.

“Daripada 10 kes penularan dalam negara, satu kes adalah dalam kalangan bukan warganegara manakala sembilan kes adalah warganegara Malaysia,” katanya menerusi kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 kini 173 kes.

Beliau berkata, kes penularan dalam negara yang membabitkan warganegara adalah enam kes iaitu daripada kluster Bukit Tiram di Johor; satu kes saringan pra-prosedur di Pahang; satu kes saringan kontak rapat di Sabah dan satu daripada kluster Sentosa di Sarawak.

“Tiga kes import pula membabitkan kemasukan dari Pakistan, Kazakhtan dan Indonesia yang masing-masing melibatkan seorang warganegara dan dua bukan warganegara,” katanya.

Sementara itu, katanya, satu kes kematian dicatatkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif 124 kes, selepas tujuh hari tiada sebarang kes kematian akibat Covid-19.

Dr Noor Hisham berkata kes kematian itu membabitkan wanita berusia 63 tahun iaitu kes ke 8,743 dan mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan hypercholesterolemia.

“Beliau mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai lalu dan mendapat rawatan pada 9 Julai.

“Beliau kemudian dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari sama untuk rawatan lanjut dan disahkan positif Covid-19.

“Keadaan wanita itu didapati merosot dan kemudian semakin tenat. Beliau disahkan meninggal dunia jam 12.04 tengah malam tadi. Pihak kementerian mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa,” katanya.