Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempersoalkan tindakan kerajaan yang bersetuju menerima bayaran balik AS$3.9 bilion (RM16.63 bilion) dari Goldman Sachs, berbanding tuntutan asal AS$7.5 bilion.
Guan Eng menyifatkan tindakan kerajaan itu sebagai memandang ringan terhadap beban hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang begitu besar.
“Selain pembayaran tunai AS$2.5 bilion, jika Goldman Sachs bersedia untuk mengembalikan baki AS$4 bilion aset haram, dan bukan setakat AS$1.4 bilion sahaja, maka munasabah bagi kerajaan untuk bersetuju dengan penyelesaian AS$6.5 bilion tanpa mengambil kira faedah sejumlah AS$1 bilion yang telah ditanggung kita sebelum ini.
“Goldman Sachs hanya membayar tunai AS$2.5 bilion untuk menyelesaikan segala tuntutan dan tindakan undang-undang jenayah oleh kerajaan Malaysia terhadapnya,” katanya.
Jumlah hutang 1MDB terkini yang dijamin oleh kerajaan ialah sebanyak RM31.7 bilion dan angka ini akan meningkat kepada RM41.5 bilion sekiranya dicampur dengan kadar faedah sehingga tahun 2038.
Ia tidak termasuk jumlah RM8.9 bilion dibayar kerajaan sebelum ini, bermaksud keseluruhan hutang 1MDB, termasuk faedah, yang terpaksa ditanggung oleh negara ialah RM50.4 bilion.
“Jika tidak mengikut jumlah tuntutan asal AS$7.5 billion sekalipun, penyelesaian dengan Goldman Sachs patut dibuat dengan tuntutan sekurang-kurangnya AS$D6.5 bilion berikutan 3 bon yang diterbit oleh syarikat tersebut,” katanya.
Justeru, Guan Eng berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajib memberi jaminan kepada rakyat bahawa beliau tidak mengkhianati kepentingan negara dan melepaskan Goldman Sachs sebegitu mudah atas penglibatan mereka dalam skandal kewangan yang terbesar dalam sejarah membabitkan RM50.4 bilion
Setiausaha Agung DAP itu berkata, kenyataan Muhyiddin tentang persetujuan yang dicapai bersama Goldman Sachs untuk membayar AS$3.9 bilion (RM16.63 bilion) sebagai penyelesaian kepada kerajaan Malaysia menimbulkan persoalan.
“Adakah beliau melepaskan Goldman Sachs dengan sebegitu mudah, sedangkan sebelum ini kita menuntut pembayaran AS$7.5 bilion atas penglibatan mereka di dalam skandal 1MDB, di mana dua pegawai eksekutif senior Goldman Sachs telah didakwa pihak berkuasa Amerika Syarikat dan kerajaan Malaysia sendiri memfailkan 17 dakwaan jenayah terhadap Goldman Sachs?,” katanya.
Katanya, situasi itu berbeza dengan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini yang kekal tegas menuntut AS$7.5 bilion bagi tiga bon 10 tahun berjumlah AS$6.5 bilion yang diatur oleh Goldman Sachs dengan kadar faedah yang jauh lebih tinggi daripada pasaran dan dijamin oleh kerajaan Malaysia.
Jumlah itu membabitkan AS$1.75 bilion pada kadar faedah 5.99% diterbit pada 18 Mei 2012, AS$1.75 bilion pada kadar faedah 5.75% diterbit pada 17 Oktober 2012 dan AS$3.0 bilion pada kadar faedah 4.4% diterbit pada 16 Mac 2013.
Guan Eng berkata, jumlah AS$7.5 bilion yang dituntut oleh Kerajaan PH termasuk AS$1 bilion bagi menampung kos faedah yang dikenakan pada bon tersebut setakat ini.

