‘Saya mungkin tidak akan bertanding’ – Muhyiddin

0
3

TAN Sri Muhyiddin Yassin membayangkan untuk tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir yang disandangnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu berkata demikian kepada media sebelum mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu di Shah Alam, malam ini.

Menurutnya, hasratnya itu akan membolehkan lebih ramai calon muka baharu ditampilkan parti itu pada PRN Johor nanti.

“Saya mungkin tidak akan bertanding. Ini terserah kepada pimpinan tentukan (calon). Saya mahu tumpukan sepenuh masa kepada yang lebih utama iaitu Parlimen, menguruskan parti pada peringkat Pusat dan menyampaikan mesej perjuangan kita.

“Jadi saya mahu bagi peluang kepada tokoh di Johor dan terserah kepada merekalah siapa yang mahu diisi, kita akan putuskan nanti,” katanya dipetik laporan Berita Harian.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu menang di DUN Gambir selepas memperoleh majoriti 3,088 undi dengan mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Datuk M Asojan serta calon Pas, Datuk Dr Mahfodz Mohamed.

PRN Johor diadakan selepas Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada Sabtu lalu berkenan menandatangani watikah pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada PRN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here