SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta semua pihak bekerjasama untuk meningkatkan ranking negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI).
Menerusi kenyataan hari ini, SPRM berkata pihaknya memberi perhatian serius terhadap keputusan skor dan kedudukan CPI Malaysia 2021 yang diumumkan oleh Transparency International Malaysia (TI-M).
“CPI 2021 menunjukkan skor Malaysia turun daripada 51 ke 48 iaitu penurunan berturut-turut sejak 2019.
“Sehubungan itu, SPRM menyeru semua pihak agar meneruskan jalinan kerjasama dan sehaluan di samping mempunyai iltizam politik untuk menambah baik usaha pencegahan rasuah di negara ini,” kata kenyataan itu.
Dalam pada itu, SPRM akan mengkaji hasil penemuan TI-M berkaitan skor CPI 2021 dan akan memberi cadangan dalam masa terdekat.
Hari ini TI-M mengumumkan Malaysia berada di ranking 62 dengan mencatatkan skor 48 dalam CPI.
Ia kedudukan terendah sejak kaedah penilaian disemak pada 2012. Pada 2020, Malaysia berada di kedudukan 57, menurun sedikit daripada 51 pada 2019.
Dari segi skor, Malaysia juga turun kepada 48 daripada 100 berbanding 51 pada 2020.
TI-M dalam kenyataannya berkata markah dan pangkat CPI Malaysia jatuh dua tahun berturut-turut, dan jelas menunjukkan negara tidak langsung mencapai kemajuan diharapkan, bahkan menuju ke arah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, menyokong hak asasi manusia dan demokrasi.
Katanya, antara punca menyumbang kepada kemungkinan kemerosotan ini membabitkan tindakan sangat terhad kerajaan sedia ada dan sebelum ini dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di negara ini. – Malaysiapost

