Tangguh Umrah: Jemaah terkesan bakal terima saguhati

0
2

JEMAAH umrah yang terkesan susulan larangan mengerjakan ibadat itu berkuat kuasa 8 Januari lalu, akan menerima bayaran saguhati daripada kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata pengumuman penangguhan umrah selama sebulan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) pastinya memberi kesan kepada jemaah umrah yang terlibat.

“Pagi ini, saya bersama dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia), Tabung Haji dan wakil MOF (Kementerian Kewangan) berbincang untuk memberikan pembayaran saguhati kepada jemaah umrah yang terkesan.

“Pemberian ini akan diumumkan dan diusahakan dalam masa yang terdekat, insya-Allah.

“Semoga dengan pemberian saguhati ini sedikit sebanyak akan memberikan sedikit kelegaan kepada seluruh jemaah umrah,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Pada 6 Januari lalu, kerajaan menangguhkan sementara perjalanan umrah bagi tempoh sebulan berkuat kuasa 8 Januari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata keputusan itu diambil untuk memberi laluan kepada proses penilaian risiko dan penelitian terhadap beberapa perkara, khususnya membabitkan prosedur operasi standard (SOP).

Jelasnya, perbincangan sepanjang tempoh penangguhan ibadat itu akan turut membabitkan kerjasama Arab Saudi dan Konsulat Malaysia di negara terbabit, sebelum perjalanan umrah kembali dibenarkan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here