PRN Johor: SPR perlu umum langkah penguatkuasaan undang-undang

0
3

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) digesa mengumumkan langkah-langkah bagi meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang sepanjang proses Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Armada Bersatu Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan, berkata perkara itu penting bagi menjamin pilihan raya yang lebih adil, telus serta berintegriti.

Muhammad Shamsuddin berkata, pihaknya mahu PRN Johor dijadikan kayu pengukur mahupun platform memulakan sebahagian daripada aspirasi perubahan dan pembaharuan politik negara yang dicetuskan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Katanya, ia juga merupakan satu proses perubahan yang sangat signifikan kepada landskap politik negara.

“Kami mahu kualiti keadilan, ketelusan dan integriti dalam pilihan raya di negara ini ditingkatkan bermula dengan PRN Johor supaya terhasil sebuah kerajaan yang bermaruah, sifar rasuah serta bebas penyelewengan sepertimana aspirasi majoriti rakyat di negara ini.

“Jika proses pilihan raya itu dipengaruhi perkara yang dikaitkan dengan rasuah, penyelewengan atau penyalahgunaan kuasa, maka dibimbangi kerajaan yang akan ditubuhkan selepas PRN itu tidak mampu menegakkan prinsip integriti mahupun kedaulatan undang-undang.

“Justeru, Armada Johor mahu SPR mengumumkan segera langkah itu menerusi platform sedia ada seperti mengeluarkan kenyataan media, memuat naik kenyataan dalam media sosial ataupun mengadakan sidang media supaya pengundi lebih yakin PRN Johor akan diadakan mengikut lunas-lunas integriti serta menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, Armada Johor masih melihat ada lagi kelompongan yang mesti ditambah baik SPR dalam aspek pemantauan dan penguatkuasaan.

Katanya, ia bermula daripada sebelum pengumuman tarikh penamaan calon sehingga peringkat pengumuman calon yang menang pilihan raya.

“Proses di antara dua perkara itu juga sangat kritikal dan mesti dipantau dengan teliti terutama ketika berlangsung kempen dan kemudiannya proses pengiraan undi.

“Jadi, bagi mencapai demokrasi dan kerajaan yangberkualiti, ia mesti dimulakan dengan pilihan raya yang bersih supaya kemenangan dicapai secara bermaruah, bebas rasuah dan penyelewengan serta tidak memanipulasi jentera atau logistik kerajaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Armada Johor turut berharap badan bebas atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) serta Jawatankuasa Pemandu Transformasi dan Kestabilan Politik memainkan peranan lebih aktif pada PRN Johor serta mengemukakan input penambahbaikan proses pilihan raya kepada kerajaan.

“Kami juga berharap jentera pilihan raya Bersatu Johor mewujudkan kaedah pemantauan tersendiri bagi memastikan calon parti sendiri mempamerkan politik yang bersih seiring perubahan dan pembaharuan politik negara yang sedang diperjuangkan oleh gagasan Perikatan Nasional,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here