Malaysia komited sokong misi kemanusiaan rakyat Myanmar

0
1

MALAYSIA sekali lagi bertegas menyatakan pendirian untuk kekal komited dan menyokong usaha ASEAN ke arah menyediakan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Myanmar.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada rakan sejawatnya dari Kemboja Hun Sen dalam sidang video hari ini.

Menurut kenyataan Wisma Putra, Perdana Menteri turut menekankan beberapa perkara berbangkit termasuk keperluan meredakan keadaan di Myanmar dan menghentikan keganasan terhadap orang awam.

“Mengadakan dialog politik di antara semua pihak yang berkaitan demi kepentingan rakyat Myanmar, dan menyeru pembebasan segera kesemua tahanan politik tanpa sebarang syarat, termasuk Aung San Suu Kyi dan U Win Myint.

“Meneruskan bantuan kemanusiaan melalui ASEAN Coordinating Centre for Humanitarian Assistance on disaster management (AHA Centre) dengan sokongan Negara-negara Anggota ASEAN dan rakan-rakan luar ASEAN,” menurut kenyataan itu.

Berhubung keputusan ASEAN untuk menjemput wakil bukan politik dari Myanmar untuk menyertai mesyuarat peringkat tertinggi ASEAN, Perdana Menteri berkata, pendirian Malaysia kekal tidak berubah selagi tiada perkembangan nyata dan pelaksanaan sepenuhnya Kemuafakatan Lima Perkara (5PC).

“Perdana Menteri juga menyuarakan pandangan bahawa cadangan langkah langkah untuk menangani situasi di Myanmar perlu dibincang dan diperhalusi dengan lebih lanjut di peringkat Menteri-menteri Luar Negeri ASEAN dan Pegawai-pegawai Kanan ASEAN.

“Malaysia bersetuju dengan cadangan Pengerusi ASEAN supaya Sesi Pemukiman Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN diadakan segera,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here