AHLI Parlimen Kepong, Lim Lip Eng membidas kenyataan Pengarah Perhutanan Kelantan, Abdul Khalim Abu Samah yang mendakwa aktiviti pembalakan membawa kebaikan kepada populasi harimau.
Beliau berkata, kenyataan Abdul Khalim itu seolah-olah memikirkan harimau itu seperti haiwan peliharaan iaitu kucing yang boleh dibela dan dibelai di rumah.
“Abdul Khalim pasti memikirkan kucingnya di rumah. Jadi, dia pasti mengimpikan kucingnya di rumah apabila memberitahu media bahawa: ‘berdasarkan kajian pakar, kawasan yang telah ditebang sebenarnya baik untuk populasi harimau’,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, terdapat banyak bukti menyatakan bahawa pembalakan atau penebangan hutan ini akan menganggu ekosistem hutan terutamanya populasi haiwan liar termasuk harimau.
“Menurut The National Geographic, 80 peratus haiwan dan tumbuh-tumbuhan darat di Bumi tinggal di hutan, dan penebangan hutan mengancam spesies termasuk harimau Sumatera (dan haiwan lain).
“Sementara itu, Dana Hidupan Liar Sedunia menyatakan harimau ditemui dalam pelbagai habitat: hutan hujan, padang rumput, savana dan paya bakau. Malangnya, 93% daripada kawasan harimau bersejarah telah hilang terutamanya kerana aktiviti manusia yang semakin meluas.
“Menyelamatkan harimau bermakna menyelamatkan hutan yang penting. kepada kesihatan planet ini,” katanya.
Justeru, Lip Eng berkata, hipotesis Abdul Khalim itu akan berdepan kritikan orang ramai dan Malaysia juga kembali menjadi bahan ketawa seluruh dunia jika ia tidak disangkal kerajaan atau kementerian terbabit.
“Oleh itu, Abdul Khalim hanya mempunyai dua pilihan sekarang, sama ada membuktikan penyelidikan pakar yang mendakwa penebangan hutan baik untuk habitat harimau atau, beliau menarik balik kenyataan itu dan memohon maaf,” katanya.
Semalam, Abdul Khalim dilapor menyatakan aktiviti pembalakan sebenarnya bagus untuk populasi harimau.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan aktiviti pembalakan yang berleluasa boleh menyebabkan kepupusan harimau.
Menurutnya, kesan pembalakan akan menyebabkan tumbuhnya tumbuhan baharu yang menggalakkan kehadiran spesis haiwan yang menjadi makanan kepada harimau. – Malaysiapost

