Najib terus desak turunkan harga pelekat RFID

0
1

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mendesak supaya harga kos pelekat Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) diturunkan.

Ahli Parlimen Pekan itu, berkata tindakan itu boleh dilakukan memandangkan penjualan sticker RFID bukan perniagaan teras Plus Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Group (TnG).

“Turunkan harga saja. Penjualan sticker bukan perniagaan teras PLUS atau TnG,” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Najib berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang menjelaskan kerajaan kini menunggu laporan terperinci daripada PLUS dan TnG berhubung kos pelekat RFID yang didakwa mahal hingga membebankan pengguna.

Fadillah berkata, kedua-dua pihak sudah diarahkan untuk membentangkan rasional di sebalik mengenakan harga jualan bernilai RM35.

Katanya, keputusan sama ada harga pelekat RFID diturunkan atau tidak bergantung kepada pembentangan laporan itu kelak.

“Dari segi kos, kita sedang meneliti dan sudah minta PLUS dan TnG untuk membentangkan perinciannya supaya dapat dinilai secara bersama dengan Kementerian Kewangan.

“Kita mahu tahu apakah justifikasi dikenakan harga RM35, kalau tidak, kita akan memastikan untuk dikurangkan atau apakah kos yang munasabah kepada pengguna,” katanya.

Isu RFID menarik perhatian ramai sejak sistem bayaran tol itu dilaksanakan untuk kenderaan kelas 1 membabitkan dari laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor, bermula 15 Januari lalu.

Peralihan kepada sistem itu menjadi tular apabila PLUS menggantikan laluan Smart TAG kepada RFID selain pelbagai kelemahan lain di samping kosnya yang tinggi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here