PERSATUAN Pengundi Muda (UNDI18) menyeru anak muda untuk pulang mengundi dan menjalankan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bulan depan.
Menerusi kenyataan hari ini, UNDI18 menggesa parti politik untuk menampilkan lebih ramai calon baharu dan calon muda.
Menurutnya, pelaksanaan undi 18 di Johor menandakan penambahan hampir 750,000 pengundi baharu, termasuk 175,000 pengundi bawah 21 tahun.
“Ini adalah penambahan hampir 30 peratus kepada jumlah pengundi di Johor sedia ada.
“Dengan adanya pendaftaran pemilih automatik, pemilih yang layak tidak perlu lagi mendaftar sebagai pemilih, tetapi hanya perlu melakukan semakan pemilih melalui portal mysprsemak.spr.gov.my untuk menyemak status kawasan lokaliti tempat pengundian mereka,” kata kenyataan itu.
Pengumuman pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada 22 Januari lalu menandakan PRN Johor akan berlangsung dalam 60 hari.
PRN kali ini merupakan yang pertama membenarkan pemilih dalam kalangan umur 18 hingga 20 tahun untuk menjadi pengundi setelah ianya diwartakan oleh SPR pada 14 Januari lalu.
“PRN Johor bakal menyaksikan detik bersejarah apabila anak muda berumur 18, 19 dan 20 tahun buat kali pertamanya dibenarkan menjadi pengundi dalam sistem demokrasi negara.
“Selain itu, UNDI18 juga turut mengharapkan penglibatan lebih ramai anak muda sebagai calon dalam PRN Johor,” katanya.
Bagaimanapun, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum memberi kenyataan rasmi sama ada Undi 18 dibenarkan pada PRN Johor nanti.
SPR dijangka mengumumkan tarikh PRN Johor Rabu ini. -Malaysiapost

