PRN Johor: PH mahu SPR benarkan ceramah, kempen rumah ke rumah

0
2

PAKATAN Harapan (PH) berpendirian bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu memperbetul prosedur operasi standard (SOP) bagi kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, bagi membolehkan aktiviti ceramah serta kempen bersemuka diadakan dengan selamat.

Ia memandangkan wabak Covid-19 di Malaysia semakin bersifat endemik dengan jumlah kes positif serta kemasukan ke hospital agak stabil, selain jumlah penerima dos kedua mencecah 80% dan dos penggalak lebih 30%.

Berikut adalah antara SOP yang dicadangkan Majlis Presiden PH:

1) Membenarkan ceramah dan aktiviti kempen bersemuka seperti pemberian bahan cetak rumah ke rumah dibenarkan dengan pematuhan ketat SOP;

2) Akses media diberi kepada semua parti secara adil dari segi ruangan masa (air time) dan ruangan cetak (akhbar, media online);

3) SPR digerakkan dengan aktif untuk berada di kedutaan-kedutaan Malaysia di Singapura, UK, US, Australia serta negara-negara lain untuk memastikan undi pos dapat dilaksana dengan baik; dan

4) Tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari.

“Majlis Presiden bertekad merangkul seluruh kekuatan pembangkang dan masyarakat sivil dalam usaha memenangi PRU Johor ke-15.

“Ia bukan sahaja demi memenangi semula mandat rakyat yang diperolehi pada PRU14 lalu, tetapi dengan matlamat membentuk sebuah kerajaan negeri lebih stabil demi masa depan Johor yang lebih baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng serta Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Madius Tangau.

Sementara itu Majlis Presiden PH berpandangan pembubaran DUN Johor adalah satu tindakan yang diatur khusus untuk mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen dan melaksana Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera.

Majlis Presiden PH berkata pada ketika rakyat terutama di Johor masih terbelenggu dengan isu ekonomi, wabak Covid-19 dan banjir, PRN akan amat membebankan rakyat.

Bagaimanapun katanya, PH telah membuat keputusan untuk bertanding dalam PRN berkenaan.

“Isu-isu persiapan termasuk agihan kerusi, pelancaran jentera pilihan raya, penamaan calon Menteri Besar serta sebarang kerjasama atau persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang yang lain akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here