PRN Johor: Mesyuarat khas SPR Rabu ini

0
3

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat khas berkaitan urusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Ke-15, Rabu ini.

Setiausaha SPR, Datuk Indera Ikmalrudin Ishak berkata pihaknya secara rasmi telah menerima notis daripada Speaker DUN Johor berhubung pembubaran DUN penggal ke-14 pada 23 Januari lalu.

Katanya, ia sebagaimana termaktub di bawah Fasal (2) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895.

Menurutnya, berdasarkan Fasal (4) Perkara 23 Bahagian Kedua, Undang-Undang Negeri Johor, Undang-Undang Tubuh Kerajaan 1895 berkehendakkan suatu pilihan raya umum diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran DUN tersebut.

“Sehubungan itu, satu mesyuarat khas berkaitan urusan PRU DUN Johor Ke-15 akan diadakan pada 9 Februari 2022 (Rabu).

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Datuk Abdul Ghani Salleh, Pengerusi SPR.

“Ia akan membincangkan tarikh-tarikh penting seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Ikmalrudin berkata satu sidang media akan diadakan sejurus selepas mesyuarat khas tersebut. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here