Banjir: Kerajaan akan bantu pulih usahawan PMKS

0
2

KERAJAAN akan membantu memulihkan usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang terjejas akibat bencana banjir yang melanda negara hujung tahun lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini berkata, mesyuarat membincangkan secara terperinci mengenai impak banjir ke atas PMKS termasuk peniaga informal.

“Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI) serta Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah berkongsi impak akibat banjir.

“Mereka turut mencadangkan beberapa tindakan bagi membolehkan PMKS bangkit semula,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Perdana Menteri menjelaskan, mesyuarat turut mendengar keluhan daripada dua usahawan PMKS dari Taman Sri Muda, Shah Alam dan Taman Sri Nanding, Hulu Langat yang terjejas teruk bagi mendapatkan gambaran sebenar kerugian, kesan dan masalah dihadapi.

“Secara prinsip, mesyuarat bersetuju mempertimbangkan bantuan berbentuk geran khusus bagi meringankan beban ditanggung usahawan mikro dan informal yang terjejas akibat banjir, selain bantuan kewangan disediakan agensi-agensi kerajaan.

“Sehubungan itu, Kementerian Kewangan akan mengadakan perbincangan lanjut bersama MEDAC, kementerian dan agensi berkaitan serta Dewan-Dewan Perniagaan bagi memperhalusi cadangan yang dibentangkan untuk pertimbangan kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, lawatan susulan ke lokasi yang dikenalpasti akan diadakan bagi memastikan program bantuan banjir PMKS sampai ke kumpulan sasaran.

“Insya-Allah, saya akan mengumumkan inisiatif ini setelah diperhalusi dan dimuktamadkan. Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia kekal terjamin,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan memperkenalkan pakej Bantuan Banjir Keluarga Malaysia berjumlah RM1.4 bilion yang merangkumi bantuan tunai, pembaikan rumah dan fasiliti awam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here