Lebih ramai pemimpin DAP akan serta Warisan – Ooi

0
2

PARTI Warisan Sabah (Warisan) Pulau Pinang mendakwa lebih ramai pemimpin DAP negeri itu menyertai parti tersebut selepas ini menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.

Koordinatornya, Jeff Ooi Chuan Aun berkata, selain itu tokoh politik, ahli korporat serta golongan profesional juga akan menyertai parti diasaskan di Sabah itu.

Sehubungan itu, katanya, pengumuman rasmi mengenainya akan dibuat parti tersebut dalam masa terdekat, lapor Sinar Harian.

“Dalam percaturan politik dan strategi kita, memang akan ada lagi pemimpin dari DAP akan menyertai (Warisan) dan akan diperkenalkan seorang demi seorang nanti. Bagaimanapun, saya tiada kuasa untuk mendedahkan identiti mereka untuk waktu ini.

“Bukan sahaja dalam kalangan pemimpin DAP, kita juga akan menampilkan penyertaan ahli korporat dan golongan profesional yang menyertai Warisan Pulau Pinang.

“Selain itu, kita akan menumpukan kepada golongan muda kerana syarat ditetapkan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mesti tidak kurang daripada 50 peratus penyokong dari golongan muda,” kata bekas pemimpin DAP itu di Georgetown hari ini.

Sementara itu Bernama melaporkan, Ooi hari ini turut mengumumkan kemasukan seorang lagi bekas pemimpin DAP iaitu Martin Lim, 53, dalam Warisan Pulau Pinang

Lim menyertai DAP pada 2009 dan pernah memegang jawatan sebagai Ketua Kakitangan Ibu Pejabat DAP Pulau Pinang.

Berhubung hala tuju parti itu pada PRU15, Ooi berkata Warisan Pulau Pinang akan berusaha keras mencapai matlamat menubuhkan sebuah kerajaan pusat dengan Mohd Shafie memainkan peranan penting dan kritikal. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here