KETUA Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow kini menjalani kuarantin kendiri selepas didapati menjadi kontak rapat kepada individu positif Covid-19 ketika hadir sebuah majlis pada Sabtu lalu.
Justeru Pejabat Ketua Menteri memaklumkan, sebagaimana diarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), Kon Yeow perlu menjalani tempoh kuarantin kendiri selama lima hari bermula semalam.
“JKNPP turut mengarahkan beliau menjalani ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) pada hari ketiga daripada tempoh berkaitan iaitu esok.
“Ini termasuk beberapa individu berkaitan yang turut dikenal pasti sebagai kontak rapat,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, kenyataan itu menyebut, JKNPP juga giat menjalankan pengesanan kontak bagi mengelak penularan jangkitan.
“Mereka yang berkaitan akan dihubungi JKNPP dari semasa ke semasa bagi tindakan lanjut,” katanya lagi. – Malaysiapost

